PH sokong Pindaan Perlembagaan, mahu deraf RRU Anti Lompat Parti disegerakan

Majlis Presiden PH mahu deraf RRU Anti Lompat Parti disegerakan. Gambar kredit FB Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR—Pakatan Harapan (PH) akan menyokong Pindaan Perlembagaan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat , Isnin ini.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini bagaimanapun memaklumkan, syarat utama ialah deraf Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu disegerakan.

Perkara itu ditegaskan Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) yang bermesyuarat semalam, dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyampaikan pendirian PH itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Oleh itu, kami menggesa Perdana Menteri menyatakan komitmen bahawa Rang Undang-undang Anti Lompat Parti itu akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh sidang khas kedua itu perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Majlis Presiden PH itu ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohd Sabu; Setiausaha Agung DAP Anthony Loke; dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Majlis Presiden PH turut mengulangi pendirian tegas mereka bahawa, meluluskan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen merupakan antara syarat utama dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).

“Amatlah jelas bahawa Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dalam perkara itu,” menurut kenyataan itu.

Majlis Presiden PH menggesa menteri yang bertanggungjawab membentang Pindaan Perlembagaan Isnin ini, turut menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan dilulus pada sidang khas kedua nanti.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RUU itu, tidak akan dibentang pada Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini.

Bagaimanapun Wan Junaidi dalam kenyataan bersama Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata sidang khas itu diteruskan, untuk membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti akan dibentang, dibahas dan diluluskan, pada satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post