Pertamina naikkan harga RON92 RM3.67 per liter

Gambar hiasan

KUCHING: Syarikat minyak negara Indonesia, Pertamina telah mengumumkan harga minyak petrol RON92 akan dinaikkan dari RM1.03 per liter kepada RM3.67 per liter, berkuat kuasa 1 April 2022.

Memetik laporan portal WapCar, langkah itu dibuat berikutan peningkatan mendadak harga minyak mentah dunia yang kini telah melepasi USD 100 setong.

Minyak mentah London, Brent kini didagangkan pada USD 104 manakala indeks Tapis Malaysia kini didagangkan USD 114.

Pada masa sama, Indonesia berdepan dengan kekurangan bekalan minyak diesel.

Malah, sesetengah pemandu trak berkata mereka perlu beratur sehingga 24 jam untuk mengisi kenderaan mereka.

Selain itu, stesen minyak di seluruh negara berkenaan juga melaporkan keadaan yang sama yang mana pengguna terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkan bahan bakar tersebut.

Sejak 2014, Indonesia memansuhkan pemberian subsidi petrol, meskipun harga petrol yang dijual oleh Pertamina - dikenali sebagai Pertamax - masih terkawal, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada pengguna di situ.

Diesel yang dirujuk oleh rakyat Indonesia sebagai 'solar' masih disubsidi pada kadar IDR 500 (RM 0.15) seliter tetapi bagi memastikan perbelanjaan belanjawan negara itu terkawal, kerajaan akan mengurangkan bekalan diesel apabila perbelanjaan subsidi menjadi terlalu tinggi.

Bagaimanapun, negara jiran iaitu Malaysia, kerajaannya kekal memberi subsidi bagi RON95, B7 dan B10 diesel walaupun Menteri Kewangan Malaysia memberitahu bahawa Malaysia perlu menanggung sehingga RM 28 bilion bagi kos subsidi bahan api tahun ini.

Ini bermakna akan ada lebih sedikit dana untuk dibelanjakan bagi penjagaan kesihatan, pendidikan, dan pembangunan infrastruktur.
Next Post Previous Post