PATI mungkin cuba masuk sempadan semasa musim perayaan, polis

Gambar arkib Komando Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan dan sekatan jalan raya di perbatasan Borneo, Malaysia dan Kalimantan, Indonesia.

BUKIT KAYU HITAM— Polis tidak menolak kemungkinan pendatang tanpa izin sedang berusaha untuk memasuki sempadan negara ketika musim perayaan ini.

Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata kawalan ketat akan diteruskan pada Hari Raya ini bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang asing mahupun penjenayah.

“Tidak dinafikan, Malaysia ini tempat mereka (pendatang) datang untuk mencari rezeki kerana mungkin mereka susah di negara sendiri. Jadi usaha untuk masuk ke negara kita ini memang sentiasa ada.

“Cuma, kita tidak tahu setakat mana mereka berani untuk masuk ke sini tetapi kawalan tidak pernah dilonggarkan walaupun hendak beraya kerana anggota tetap perlu bertugas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Markas Taktikal (MARTAK) Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam bagi menyampaikan sumbangan raya kepada petugas PGA yang bertugas di sempadan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post