Nelayan, pekerja buruh ditahan ambil dadah


BETONG—Polis menahan enam individu terdiri daripada nelayan dan pekerja buruh kerana terlibat penyalahgunaan dadah di sekitar Beladin dalam Op Tapis Khas pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintenden(DSP) Zamry Alli berkata, suspek ditahan dalam serbuan di empat lokasi berasingan.

“Berdasarkan saringan awal air kencing yang dijalankan, kesemua suspek positif dadah jenis Amphethamine dan Methamphetamine .

"Kesemua mereka yang ditahan tiada pekerjaan tetap dan hanya bekerja sebagai buruh dan nelayan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Op Tapis Khas yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Betong telah berjaya menahan seorang lelaki di kawasan perumahan nelayan RGC Beladin sekitar jam satu tengah hari pada Selasa.

Pemeriksaan ke atas suspek telah menemukan enam keratan tiub straw paket setiap satu berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggarkan seberat 1.5 gram yang disimpan dalam beg sandang.

Tambahnya, kesemua barang dirampas sebagai bahan bukti dan semua suspek dibawa ke pejabat BSJN, IPD Betong untuk tindakan lanjut.

"Lima yang lain turut ditangkap di lokasi berbeza sekitar Beladin. Kesemua suspek turut dikesan positif dadah jenis Amphethamine dan Methamphetamine.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Next Post Previous Post