MBM gempur dua lokasi ‘panas’ wabak denggi di Permyjaya

Adam Yi (berpayung) melawat kawasan perumahan di Lorong 3 dan 4 Quadruplex Permyjaya yang dikenalpasti sebagai lokasi ‘panas’ wabak denggi

MIRI— Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengenal pasti dua lokasi ‘panas’ wabak denggi melibatkan kawasan perumahan di Lorong 3 dan 4 Quadruplex Permyjaya.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Adam Yii berkata, tahap kebersihan kedua-dua lorong ini amat rendah.

“Sehubungan itu satu operasi akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi menghapus tempat pembiakan nyamuk aedes .

“Kita mahu memastikan kawasan ini bersih dan bebas daripada penyakit berjangkit,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan perumahan flat di Lorong 3 dan 4 Quadruplex Permyjaya hari ini.

Yii berkata, kerja-kerja pembersihan merangkumi tanaman yang ditanam di tepi jalan raya atau simpang berdekatan flat kediaman dan struktur binaan yang dibuat tanpa kebenaran pihak MBM.

Katanya, pihak MBM turut tidak teragak agak mengambil tindakan tegas terhadap penduduk atau pemilik rumah yang menjadikan laman hadapan atau belakang rumah mereka sebagai tempat memelihara ayam.

“Selain itu membersihkan kawasan takungan air yang boleh menyebabkan nyamuk aedes membiak.

“MBM akan mengeluarkan notis pemberitahuan sebelum kerja-kerja pembersihan ini dilakukan supaya pemilik rumah kediaman dan penduduk di sini maklum," jelasnya.

Yii menambah, lazimnya notis tujuh hari akan dikeluarkan pihak MBM untuk memberitahu penduduk dan pemilik rumah mengenai operasi kerja kerja pembersihan awam tersebut.

Beliau berharap usaha ini bukan hanya menjadikan kawasan perumahan itu bebas denggi malah menjadikan ia kawasan yang bersih dan selesa didiami.

Seramai 13,000 penduduk mendiami Lorong 3 dan 4 yang mempunyai 2,000 unit flat.
Next Post Previous Post