Malaysia terima kunjungan Menteri Luar Kedua Brunei

Menteri Luar Kedua Brunei Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof dijadual bertemu rakan sejawatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah. Gambar arkib kredit Wisma Putra

PUTRAJAYA—Menteri Luar Kedua Brunei Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula Rabu hingga 22 April.

Ketika lawatannya, beliau dijadual bertemu rakan sejawatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kerjasama dua hala susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei dari 14 hingga 15 Feb lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia, lawatan kerja itu juga bersempena penganjuran Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Malaysia-Brunei Darussalam berkenaan Sempadan Darat (LBC Bersama).

LBC Bersama merupakan mekanisme penting dalam hubungan istimewa antara kedua-dua negara.

Sejak kedua-dua negara menjalin kerjasama mengenai sempadan darat pada 2012, pelaksanaan LBC Bersama Pertama ini mempamerkan komitmen kedua-dua pihak ke arah memuktamadkan persempadanan tanah Malaysia-Brunei Darussalam.

Erywan juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menurut kenyataan itu.

Pada 2021, Brunei merupakan rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM8.03 bilion (US$1.87 bilion), iaitu peningkatan sebanyak 70.4 peratus, berbanding nilai yang direkodkan pada 2020.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post