Lewat serah rumah, pemaju dikenakan penalti sebanyak RM72, 725.99

Datuk Maznah Dasmi (kanan)

BINTULU—Sebuah syarikat perumahan tempatan di sini, hari ini diarah Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) supaya membayar sebanyak RM72, 725.99 buat tiga pembeli rumah atas kelewatan menyerahkan rumah milik mereka.

Keputusan itu dibuat Presiden TTPRS Datuk Maznah Dasmi selepas mendengar kes tuntutan yang difailkan oleh pembeli rumah pertama, Kung Teak Hin, pembeli rumah kedua oleh Hii Wei Sieng, Hii ​​Wee Toh dan Hiew Sing Siong dan pembeli rumah ketiga iaitu Sim Mong Yii dan Amg Siaw Ching.

Datuk Maznah berkata demikian sejurus selesai sesi pendengaran kes antara pengadu dan pemaju rumah oleh TTPRS di Mahkamah Bintulu hari ini.

Jelasnya, Tribunal mengarahkan pemaju perumahan terbabit supaya membayar penalti sebanyak RM21, 004.62 kepada Kung Teak Hin, RM22,100.87 kepada Hii Wei Sieng, Hii ​​Wee Toh dan Hiew Sing Siong dan RM 29,620.50 kepada Sim Mong Yii dan Amg Siaw Ching.

"Kesemua penalti yang ditetapkan ini harus dibayar kepada pembeli rumah dalam tempoh 45 hari selepas menerima surat dari Tribunal," ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan perjanjian jual-beli yang ditandatangani oleh penuntut pertama iaitu Teak Hin bertarikh 19 Disember 2016, tarikh pengeluaran permit menduduki (OP) bagi rumah bernilai RM468,000 yang dibeli beliau di Kemena Land District ialah pada 22 Februari 2021.

Dalam pada itu pula katanya, perjanjian jual-beli yang ditandatangani oleh penuntut kedua iaitu Wei Sieng, Wee Toh dan Sing Siong bertarikh 20 Julai 2016 dan penuntut ketiga iaitu Mong Yii dan Siaw Ching pada 9 Disember tahun sama yang melibatkan rumah bernilai RM443,000 dan RM775,000 mencatatkan tarikh OP pada tarikh sama.
Next Post Previous Post