Lelaki ‘kasanova’ didakwa tipu kerani wanita


KUALA LUMPUR—Seorang lelaki ‘kasanova’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang kerani syarikat swasta yang dijanji mahu dikahwini sehingga memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang dan barang kemas berjumlah RM152,500.

Hisyah Sayuti, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Lelaki itu didakwa menipu wanita berusia 40 tahun itu untuk menyerahkan kepadanya wang dan barang kemas dengan perkahwinan yang tidak wujud dan wanita itu tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini antara 6 Feb hingga 6 Mac lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kampung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.