Lelaki Indonesia jadi tokan dadah dicekup

Gambar hiasan

MIRI—Seorang lelaki warga Indonesia ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Menjelin Bekenu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek ditangkap sekitar jam 10.30 malam oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

"Lelaki warga Indonesia terbabit ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut polis telah menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi 19 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, dadah jenis Methamphetamine itu dianggarkan berat kasar 52 gram dengan bernilai RM5,200.

Alexson memberitahu hasil saringan awal mendapati urin suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Berikutan itu, tegasnya, suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah untuk permohonan reman.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali jika sabit kesalahan," ujarnya lagi.
Next Post Previous Post