Lebih 3,000 babi komersial di Perak dijangkiti ASF

Razman Zakaria

IPOH—Lebih 3,000 ekor babi komersial dikesan dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) melibatkan tiga ladang di dua daerah di Perak, kata Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Razman Zakaria

Beliau berkata penyakit itu dikesan menjangkiti sebuah ladang babi komersial di daerah Hilir Perak pada 27 Mac lepas dan dua ladang komersial lagi di daerah Batang Padang pada 4 April, menerusi ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) oleh Makmal Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh.

“Notis kuarantin di bawah Seksyen 18(3) Akta Binatang 1953 (Semakan-2006)(Akta 647) telah dikeluarkan kepada pemilik ladang babi yang disahkan positif, agar tidak memindahkan ternakan mereka atau karkas keluar masuk ke ladang yang dijangkiti. 

“Enam ladang babi yang berada dalam kawasan radius lima kilometer dari ladang yang disahkan positif turut dikuarantin bagi pemeriksaan lanjut dan pensampelan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya semua babi di ladang yang positif diambil tindakan pelupusan segera di bawah Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) bagi mengawal rebakan, dan sehingga kini 990 ekor telah dilupuskan dari ladang yang terlibat.

Katanya pemantauan dan pemeriksaan serta pensampelan semua ladang babi di dua daerah berkenaan juga dijalankan sebagai langkah proaktif dalam mengawal rebakan, manakala penternak komersial dinasihatkan supaya mengetatkan kawalan biosekuriti di ladang babi masing-masing bagi membendung penularan wabak itu ke ladang mereka.

ASF adalah penyakit wajib lapor yang diwartakan di bawah Seksyen 31, Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) (Akta 647), dengan setiap pemilik atau orang bertanggungjawab ke atas haiwan atau ternakan yang telah dijangkiti atau disyaki berpenyakit, boleh didenda tidak melebihi RM 25,000 jika gagal melaporkannya kepada pihak berkuasa veterinar.

Penternak dan orang awam juga diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang berdekatan atau Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak menerusi Talian Hotline 05-5459111.

Sementara itu Pengarah JPV Perak Dr. Ahmad Shafri Hassan berkata jangkitan ASF itu tidak menjejaskan bekalan daging babi di negeri ini kerana ia melibatkan peratusan kecil daripada keseluruhan populasi 555,705 ekor di ladang beberapa daerah.

“Jika diambil kira daripada keseluruhan peratusan pengeluaran, bilangan yang dijangkiti tidak sampai satu peratus setakat ini kerana setiap tahun Perak sebagai pengeluar terbesar babi menghasilkan 56,000 metrik tan daging babi dengan nilai kira-kira RM621 juta,” katanya.

Menurutnya tiada vaksin yang boleh digunakan untuk pencegahan dan kawalan penyakit ASF setakat ini, dan babi yang dijangkiti akan menunjukkan tanda-tanda klinikal kemerahan pada telinga, punggung, perut, dada dan kaki namun tidak menjangkiti manusia.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post