Bapa maut, anak tidak sedarkan diri, kereta dinaiki hampir berlipat dua


MUKAH: Seorang bapa maut manakala anaknya masih tidak sedarkan akibat kecederaan dalaman selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok sehingga hampir menyebabkan kenderaan tersebut terlipat dua di Jalan Orang Kaya Setia Raja petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Hassan Rajak, 51, bekerja sebagai nelayan beralamat di Kampung Sungai Alo, Mukah disahkan maut akibat kecederaan patah tangan kiri, kaki kiri dan luka bahagian kepala.


"Manakala seorang penumpang yang merupakan anak mangsa berusia 21 tahun mengalami kecederaan dalaman iaitu bahagian perut dan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menjelaskan, kemalangan itu berlaku sekitar jam 1.40 petang melibatkan sebuah kereta yang dipandu mangsa bersama penumpang (anaknya).

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta terbabit yang bergerak lurus dari arah Kampung Tellian Laut, Mukah menuju ke arah Pasar Baru Mukah.


"Ketika sampai di suatu tempat di Jalan Orang Kaya Setia Raja, Mukah kereta berkenaan telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok.

"Akibat kemalangan itu pemandu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan manakala penumpang telah dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan lanjut," jelasnya.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

Selain itu, katanya, kenderaan terlibat juga dibawa ke balai trafik IPD Mukah.

Tegasnya, polis kini mengesan dan memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa.

Pada masa yang sama beliau memberitahu polis juga mengesan saksi dan merakam percakapan saksi kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Pusat Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah terima panggilan terus dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah maklum kemalangan jalan raya sekitar jam 2.14 petang.

"Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta proton wira yang melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

"Kemalangan ini melibatkan dua mangsa tersepit," katanya dalam kenyataan hari ini

Jelasnya, mangsa pertama berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba dan mangsa dibawa ke hospital.

Manakala mangsa kedua katanya, berjaya dikeluarkan oleh bomba menggunakan peralatan penyelamatan.
Next Post Previous Post