Jambatan Mulu Marriot runtuh, empat cedera termasuk pengurus besar dan pengurus resort


MULU-- Empat individu termasuk seorang pengurus besar dan pengurus resort cedera selepas jambatan di Mulu Marriott Resort & Spa (Mulu Marriott), Miri telah runtuh yang berlaku petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, antara mangsa yang cedera Pengurus Besar Mulu Marriott, Marc Cosyns, warganegara Belgium, patah tangan kanan dan luka sebelah matanya dipercayai tercucuk benda tajam.

Manakala seorang lagi, Pengurus Resort Benjamin Wolff, warganegara Jerman cedera pada pinggang dan kaki kanannya tidak dapat digerakkan.


Sementara dua lagi mangsa lelaki merupakan wakil syarikat Kumpulan Samling, masing-masing hanya cedera ringan pada tangan dan terseliuh kaki kanan.

"Keempat-empat mangsa dikatakan sedang membuat pemeriksaan tapak di kawasan tersebut ketika kejadian," katanya.

Mengulas lanjut, katanya bomba menerima panggilan kecemasan daripada kakitangan Mulu Marriott dan memulakan operasi menyelamat mangsa pada jam 3 petang.

"Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi yang dikerah ke tempat kejadian dengan jarak perjalanan sejauh 10 kilometer," jelasnya.

Tambahnya, tiga daripada mangsa dibawa naik dan dihantar ke Lapangan Terbang Mulu untuk diterbangkan ke Miri menggunakan helikopter milik Kumpulan Samling oleh kakitangan Mulu Marriott.

"Manakala Wolff terpaksa dipindahkan menggunakan pengusung oleh anggota bomba.

"Mangsa kemudiannya dipindahkan oleh bomba menggunakan perahu, seterusnya dengan kenderaan pacuan empat roda untuk dihantar ke Lapangan Terbang Mulu dan diterbangkan bersama tiga lagi mangsa ke Miri bagi menerima rawatan lanjut," dedahnya.

Selain itu, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mulu juga telah membuat pemeriksaan dan rawatan awal untuk kesemua mangsa.

"Kesemua empat mangsa telah berjaya diterbangkan ke Miri menggunakan helicopter Samling," ujarnya.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.