Guru terkejut wang simpanan lebih RM250,000 tinggal RM78

Gambar hiasan kredit Unsplash

SEREMBAN-- Seorang guru di sini kerugian lebih RM250,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis sejak Jun tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani berkata wanita berusia 43 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada ejen itu mengenai pengesahan tuntutan insurans, namun dia menafikan perkara tersebut.

Beliau berkata susulan itu mangsa dikatakan menerima panggilan daripada seorang polis yang dikenali sebagai Sarjan Rizal memaklumkan maklumat peribadi miliknya terlibat dengan kes pengubahan wang haram di bawah Jabatan Air Negeri Sabah.

“Keesokannya mangsa dimaklumkan perlu membuat pindahan duit ke akaun bank milik sendiri sebagai dana bayaran untuk menyelesaikan kes selain diminta memberikan akaun bank yang jarang digunakan dengan wanita itu menggunakan akaun Bank Rakyatnya untuk tujuan itu.

“Mangsa berurusan dengan mereka selama hampir lima bulan sejak Jun tahun lepas dan dari 29 Okt 2021 hingga 26 Mac tahun ini, mangsa telah melakukan sembilan transaksi ke akaun Bank Rakyatnya itu membabitkan jumlah keseluruhan RM265,225.50,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata daripada jumlah itu, RM200,000 diperoleh mangsa melalui pinjaman manakala bakinya daripada wang simpanannya.

Bagaimanapun, beliau berkata mangsa yang berasa curiga telah membuat semakan ke akaun Bank Rakyat dan mendapati baki dalam akaunnya hanya tinggal RM78 selain mendapati wang tersebut dipindahkan ke satu akaun individu lain.

Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

-- BERNAMA 
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.