GrabPay tingkat pembayaran tanpa tunai menerusi ePemula

Gambar kredit Grab

KUALA LUMPUR—GrabPay Malaysia bekerjasama dengan kerajaan bagi meningkatkan penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia dan perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menerusi program ePemula bernilai RM300 juta. 

Di bawah program yang disasarkan bermula pertengahan bulan ini itu, kira-kira dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa dari institusi pengajian tinggi akan menerima baucar kredit RM150 sekali bayar menerusi e-dompet pilihan mereka bagi transaksi di kedai.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua GrabPay Malaysia Priyanka Madan berkata sejak pelancaran e-dompet GrabPay, syarikat itu telah bekerjasama dengan rakan kongsi dan agensi kerajaan bagi menggalakkan pertumbuhan transaksi tanpa tunai bagi menyediakan perkhidmatan kewangan yang selamat,  lebih telus dan inklusif di seluruh negara. 

Katanya syarikat itu telah membantu beribu-ribu perniagaan mikro, kecil dan sederhana beralih kepada urus niaga dalam talian dan menerima pembayaran tanpa tunai.

“Berikutan peralihan negara ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Nasional, kami berharap perniagaan akan dapat memperoleh semula jualan luar talian mereka sambil masih meraih manfaat ekonomi digital,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa pelbagai kajian, termasuk yang dijalankan oleh Tech for Good Institute menunjukkan bahawa pandemik telah mempercepatkan penggunaan e-dompet di seluruh Malaysia, dengan 67 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses digital menerusi langganan telefon mudah alih, dengan 83 peratus daripada mereka membuat pembayaran secara digital menggunakan e-dompet mudah alih.

Sementara itu, Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa 2021 menunjukkan bahawa 55 peratus rakyat Malaysia berkata mereka akan meneruskan pembayaran tanpa tunai fizikal selama lebih daripada seminggu. Kajian itu mengaitkan ini dengan pertumbuhan pilihan pembayaran tanpa tunai seperti pembayaran QR dan e-dompet.

Laporan Bank Negara baru-baru ini juga menunjukkan bahawa transaksi e-dompet meningkat lebih daripada 70 peratus pada 2021 berbanding 2020.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post