Gagal selaras lawatan PM ke Dubai, dua diplomat dipanggil pulang

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) semasa menghadiri World Government Summit 2022 di Dubai akhir bulan lepas. Gambar arkib kredit FB Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA—Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai telah dipanggil pulang ke Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) kerana gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke UAE, akhir bulan lepas.  

Menurut kenyataan Wisma Putra pada Isnin,  kegagalan itu menyebabkan Perdana Menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.

Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan  Prosedur Operasi Tetap (SOP) biasa juga tidak ada. 

Kedua-dua pegawai itu juga gagal memaklumkan kepada KLN di Putrajaya tentang penganjuran World Government Summit (WGS) dalam Kawasan Ekspo Dubai, dan sekiranya Wisma Putra dimaklumkan awal pastinya usaha akan dibuat supaya Perdana Menteri menyampaikan ucapan di program itu .

Pimpinan tertinggi Wisma Putra hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain, kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menghadiri Majlis Penutup WGS pada hari yangs sama apabila menerima undangan ke majlis itu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa UAE Reem Ebrahim Al Hashimy 

Wisma Putra dalam kenyataan itu berkata kecelaruan itu tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal, lagipun Kerajaan UAE telah menyediakan semua kemudahan kepada Ismail Sabri sebagai Ketua Kerajaan sehingga ke akhir lawatan.

"Tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai itu bukan sesuatu yang luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam," kata kenyataan itu. 

Walaupun apa pun, lawatan itu tetap berjaya mencapai objektif-objektif yang disasarkan, kata kenyataan itu lagi.

Semasa pulang Kerajaan UAE mengatur barisan kehormat statik di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum bagi Perdana Menteri dengan negara itu diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, Omar bin Sultan Al Olama.

Semasa di lapangan terbang itu, Omar menyampaikan undangan Kerajaan UAE kepada Ismail Sabri untuk menyampaikan Ucap Utama di WGS akan datang (2023), dengan Perdana Menteri telah menyatakan persetujuannya menerima undangan itu.

Perdana Menteri telah mengadakan lawatan ke UAE dari 29-31 Mac lepas, sempena Ekspo 2020 Dubai dengan beliau menghadiri Majlis Penutup Pavilion Malaysia dan Majlis Apresiasi bagi Pegawai dan Staf Pavilion Malaysia di Ekspo berkenaan.

Ismail Sabri juga juga menghadiri Majlis Pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat antarabangsa sempena Ekspo 2020 Dubai. 

Semasa lawatan itu Perdana Menteri juga telah mengadakan perjumpaan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum. 

Sementara itu, kenyataan sama menyebut Wisma Putra juga kesal dengan laporan portal berita Free Malaysia Today berhubung dua diplomat itu dipanggil balik yang disiarkannya pada Ahad.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan kandungan laporan itu, jelas sekali sumber-sumber yang dirujuk atau dipetik bukannya datang daripada pegawai atau pihak yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan urusan lawatan itu.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post