Gaduh berebut pelanggan, tujuh lelaki ditahan

Tangkap layar pergaduhan di kawasan pasar raya KB Mall malam semalam. Video tular media sosial

KOTA BHARU— Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di kawasan pasar raya KB Mall di sini, selepas videonya tular di laman sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata kesemua suspek yang ditahan berumur antara 19 hingga 30 tahun, dipercayai terlibat dalam kejadian yang berlaku pukul 9.30 malam selepas dua laporan polis telah dibuat oleh mereka.

"Hasil maklumat awal, kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan pertelingkahan melibatkan dua pekerja premis perniagaan telefon bimbit yang berebut pelanggan, masing-masing kemudian membawa kumpulan rakan sehingga mencetuskan pergaduhan di dalam dan luar kawasan pasar raya.

"Dalam kejadian itu juga, enam suspek mengalami cedera ringan dan telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini, yang menambah hasil ujian saringan awal dadah ke atas kesemua suspek didapati negatif.

Beliau berkata kesemua mereka akan ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Hasil semakan turut mendapati lima daripada mereka yang ditangkap mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, dengan masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai, buruh, pemandu lori dan petani.

"Bagaimanapun, pihak kami masih mengesan beberapa lagi individu lain yang turut terbabit dalam insiden berkenaan kerana terdapat tiga rakaman video berkaitan kejadian itu berdurasi (31 saat, 27 saat dan tujuh saat) telah dimuat naik di laman sosial Facebook," katanya yang turut menasihati orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri kerana menyalahi undang-undang.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.