Firefly terbang Pulau Pinang - Kuching bermula Isnin ini

Syarikat Firefly bakal memulakan penerbangan bagi laluan Pulau Pinang-Kuching bermula Isnin ini. Gambar Firefly Airlines

KUCHING—Syarikat Firefly bakal memulakan penerbangan bagi laluan Pulau Pinang-Kuching bermula Isnin ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, penerbangan bagi laluan tersebut ditetapkan tujuh kali seminggu.

Berikutan itu, katanya rakyat Sarawak mempunyai dua pilihan untuk penerbangan terus bagi laluan Pulau Pinang-Kuching iaitu Firefly dan AirAsia.

"Buat masa ini, satu-satunya syarikat penerbangan yang mengendalikan laluan Pulau Pinang-Kuching ialah Airasia Berhad dengan 14 penerbangan seminggu.

"Oleh itu, dengan adanya dua syarikat yang mengendalikan laluan itu, diharap ia akan mewujudkan lebih banyak variasi, ketersediaan dan pilihan penerbangan termasuk kadar tambang yang berpatutan bagi menarik lebih ramai pelawat ke Sarawak,” katanya dipetik menerusi Suara Sarawak hari ini.

Pada 10 Januari 2022, Firefly Sdn Bhd meminta operasi laluan Pulau Pinang-Kuching dikembalikan dan diluluskan oleh JPBNS pada 4 Februari 2022.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan pengurusan Firefly yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Phillip See kerana dapat membuat pengaturan yang diperlukan dalam penerbangan sulung dari Pulau Pinang ke Kuching," tambah Lee.

Jelasnya, operasi penerbangan Firefly Pulau Pinang-Kuching adalah setiap hari atau sekali sehari, tiba pada jam 4.10 petang di Kuching dan bertolak pulang ke Pulau Pinang pada 4.40 petang hari yang sama.

Terdahulu pada Mac, syarikat Firefly menyatakan penerbangan tersebut menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang mampu memuatkan sehingga 189 penumpang.

Untuk membeli tiket penerbangan, orang ramai dan pengembara boleh pergi terus ke laman web mereka di www.fireflyz.com.my atau melalui ejen pelancongan.
Next Post Previous Post