Dua lelaki ditahan, bergaduh disebabkan kereta bergesel


KUCHING: Polis Kuching menahan dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan yang berlaku di Jalan Hospital, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah (IPD) Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek ditahan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching pada jam 5 petang.

Katanya, penahanan mereka dilakukan susulan tular video berhubung pergaduhan mereka di media sosial sejak malam tadi.


"Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pegeseran kenderaan antara kedua-dua suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun kata Ashmon, pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh orang awam dan pengawal keselamatan yang sedang bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sehubungan itu katanya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Orang awam dinasihatkan supaya memandu dengan cermat dan tenang, mengawal perasaan marah dan mewujudkan suasanan harmoni semasa dalam kenderaan.

"Ini terutamanya bagi orang awam yang hendak bergerak balik bercuti ke kampung halaman sempena perayaan Hari Raya nanti," katanya.
Next Post Previous Post