DAP jangan memandai serah 19 kerusi PH yang diwakili PKR


KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengingatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak tidak memandai-mandai menyerahkan kerusi Pakatan Harapan (PH) khususnya 19 kerusi diwakili PKR.

Menegaskan perkara itu, Ketua Penerangan dan Komunikasi Abun Sui Anyit berkata, meskipun PKR Sarawak terbuka kepada idea kerjasama parti pembangkang lain di negeri ini, namun pihaknya tidak berkompromi tentang pengagihan kerusi yang diwakili parti itu.

Jelasnya, DAP Sarawak boleh berunding dengan parti pembangkang lain berkaitan kerusi-kerusi yang diwakili DAP Sarawak sendiri bukan kerusi diwakili PKR.

"Bagi pihak PKR Sarawak, secara prinsipnya kepimpinan PKR negeri melihat perkembangan tersebut dengan kepercayaan bahawa DAP Sarawak hanya berunding dengan parti politik pembangkang lain berkaitan kerusi-kerusi dalam senarai DAP Sarawak dan bukannya melibatkan 19 kerusi Parlimen yang dalam senarai PKR Sarawak.

"Sama ada PKR Sarawak setuju atau tidak, terlalu awal untuk mengiyakan atau menidakkan persoalan bekerjasama dengan parti pembangkang lain di Sarawak," tegasnya dalam kenyataan semalam. 


Walau bagaimanapun, Abun berkata, adalah lebih baik jika apa-apa keputusan yang ingin diambil untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain di Sarawak, perlulah melibatkan rakan-rakan dalam PH Sarawak seperti PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) di negeri ini.

Dedahnya, setakat sehingga tarikh kenyataan media ini, PH Sarawak belum lagi dipanggil bermesyuarat.

"Justeru apa–apa keputusan yang dibuat oleh DAP Sarawak dengan pembangkang lain yang memberi kesan negatif kepada rakan dalam PH Sarawak perlulah dielak," ujarnya.

Pada Ahad, Pengerusi DAP Sarawak yang juga Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen memaklumkan pihaknya merancang untuk bermesyuarat dengan parti politik pembangkang Sarawak di Sibu hari ini.

Jelasnya, ia bagi membincangkan kemungkinan menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain di Sarawak.
Next Post Previous Post