Cuba seludup PATI positif COVID-19 balik Indonesia guna lorong tikus


LUNDU-- Tindakan lima warga tempatan menjadi tekong darat seludup keluar lima pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke Indonesia digagalkan, malah seorang daripada PATI diuji positif COVID-19.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen dalam kenyataan berkata, ia menerusi Op Benteng yang dijalankan sekitar jam 1.45 petang semalam. 


"Semasa anggota seksyen sedang melaksanakan rondaan telah menahan lima motosikal yang mencurigakan di kawasan Ladang Kelapa Sawit, Rimbunan Hijau sekitar 735 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

"Setelah pemeriksaan dibuat mendapati lima lelaki warga tempatan berusia sekitar 28 hingga 41 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong yang membawa lima lelaki PATI warga Indonesia berusia 17 hingga 38 tahun untuk pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Berikutan itu, tegasnya kesemua individu tersebut bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu untuk tindakan lanjut.

"Selain itu, hasil ujian saringan turut mendapati salah seorang daripada PATI tersebut positif COVID-19," dedahnya. 


Dalam serbuan itu, katanya pihaknya turut merampas lima motorsikal yang digunakan, wang tunai berjumlah RM27,839.70, barang kemas serta 15 telefon bimbit melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM61,141.55.

Sehubungan itu, tegasnya, Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.
Next Post Previous Post