Aktiviti bertuntung dalam radar Bomba Sarawak

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Sarawak di Kuching hari ini. Gambar kredit JBPM Sarawak

KUCHING--  Bertuntung  atau amalan tradisi menghiasi halaman rumah menggunakan lampu minyak tanah atau lampu elektrik di Sarawak semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi antara aktiviti yang akan menjadi perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang sambutan itu tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata aktiviti bertuntung ini membawa risiko kebakaran dan mereka yang bercadang untuk melakukannya perlu bersedia mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan risiko ini daripada berlaku.

Kami nasihatkan (mereka yang menggunakan bekalan elektrik untuk bertuntung) memastikan bahawa sambungan elektrik tersebut adalah betul. Jangan bebankan papan suis, pada masa yang sama pastikan tidak berlaku litar pintas,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Sarawak melibatkan 95 penerima dan turut dihadiri Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman @Hussaini.

Mohammad Hamdan berkata mereka yang menggunakan minyak tanah sebagai bahan bakar untuk bertuntung pula dinasihatkan memastikan bahan itu tidak mudah tumpah kerana ia boleh menyebabkan kejadian melecur khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Sementara itu, beliau berkata JBPM juga telah mengenal pasti 18 lokasi di seluruh negara yang dianggap kawasan hotspot berisiko kematian akibat lemas dalam air.

Menurutnya kawasan itu melibatkan 13 lokasi yang merupakan sungai atau tali air, dua kawasan air terjun atau jeram dan tiga kawasan pantai.

Dalam pada itu, Khirudin berkata kira-kira 80 peratus daripada 1,040 orang petugas JBPM yang berpangkalan di Sarawak akan bertugas secara bergilir sepanjang sambutan Aidilfitri ini dan operasi mereka akan dibantu 108 orang rekrut JBPM selain Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti.

Katanya JBPM Sarawak telah memulakan rondaan malam bagi pemantauan dan pencegahan kebakaran sejak 20 April lepas selain membuat pemeriksaan ke atas premis komersial, pejabat dan kilang yang tidak beroperasi sepanjang tempoh perayaan itu.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post