Acara sukan lasak berhalangan terbesar di dunia kembali ke Sarawak Jun ini

Mesyuarat penyelarasan berkaitan Perlumbaan Spartan Sarawak 2022 di sini hari ini. Gambar kredit MTCP Sarawak

KUCHING—Spartan, acara sukan lasak berhalangan terbesar di dunia, akan kembali ke Bumi Kenyalang Jun ini dengan edisi Perlumbaan Spartan Sarawak selepas dua tahun penangguhan akibat pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, perlumbaan itu akan diadakan pada 11 dan 12 Jun di Institut Pertanian Sarawak dan Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, kedua-duanya di Semenggo di sini.

“Perlumbaan Spartan Sarawak dinobatkan sebagai perlumbaan Spartan paling sukar di Asia Tenggara oleh pelumba Spartan selepas acara itu julung kali diadakan di Sarawak pada 2019. Perlumbaan tahun ini tiada bezanya dan akan menampilkan dua kategori paling popular iaitu 5 km Sprint (20 halangan) dan 10 km Super (25 halangan),” menurut kenyataan itu.


Perlumbaan berkenaan dijangka menarik 2,500 peserta dengan 1,000 orang dari luar Malaysia dan setakat hari ini, seramai 1,058 peserta telah berdaftar untuk acara itu.

“Perlumbaan Spartan Sarawak 2022 akan meletakkan negeri ini pada peta sebagai destinasi pelancong antarabangsa kerana acara ini dijangka menarik minat pelumba dari seluruh rantau ini,” menurut kenyataan itu.

-Mereka yang mendaftar untuk Perlumbaan Spartan Sarawak 2020 boleh memindahkan tiket mereka ke perlumbaan tahun ini dengan menghantar maklumat menerusi e-mel info@my.spartan.com manakala mereka yang belum mendaftar boleh berbuat demikian melalui  https://my.spartan.com/en.

Spartan juga akan menganjurkan Borneo Trail Classic pada Oktober ini di Sarawak, satu daripada sembilan hentian Spartan Trail World Championship Series (STWC) di seluruh dunia dan satu-satunya hentian di Asia.

Borneo Trail Classic yang menawarkan hadiah wang berjumlah AS$18,000 (RM76,456.91) akan diadakan di Redeems Centre di Kampung Apar dari 14 hingga 16 Okt, dengan pelumba perlu berlumba merentasi hutan, bukit dan sungai untuk ke garisan penamat bagi merangkul anugerah rasmi dan pingat STWC.

Maklumat lanjut mengenai Borneo Trail Classic boleh didapati di www.borneotrailclassic.com.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.