Wanita Dibaham Buaya Semasa Memancing Ikan di Sungai Telong, Suai


MIRI—Seorang wanita dipercayai dibaham buaya semasa memancing ikan di Sungai Telong, Suai, pada tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba Batu Niah, Rary Binji semasa dihubungi Borneo Network berkata, maklumat awal yang diterima mengatakan dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.10 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Demit Chagai, 43, sedang memancing ikan bersama ibu dan ibu saudaranya sebelum dibaham oleh reptilia ganas itu.


"Menurut ibu dan ibu saudara mangsa yang menyaksikan kejadian, mangsa disambar lalu diseret reptilia ganas itu ke dalam air semasa sedang memancing ikan di tepi sungai berkenaan," ujarnya.

Ibu mangsa berkata, kejadian berlaku dengan begitu pantas sekali kerana mangsa sudah diseret buaya berkenaan ke tengah sungai lalu tenggelam sebelum sempat berbuat apa-apa.


Sejurus menerima panggilan berhubung kejadian, beliau bersama-sama 4 anggota bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan serta memulakan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Setakat jam 5 petang tadi, usaha pencarian mangsa memfokuskan kepada radius sekitar tiga kilometer ke hulu dan hilir sungai lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum tenggelam diseret buaya berkenaan ke dasar sungai.


"Kali terakhir, mangsa memakai baju t-shirt berwarna merah dan berseluar panjang warna hitam," tambahnya.
Next Post Previous Post