Wang RM3.9 juta peninggalan mendiang suami lesap ditipu ‘kekasih dari Korea”


GEORGE TOWN— Seorang wanita warga emas kerugian RM3.9 juta wang peninggalan mendiang suaminya selepas diperdaya seorang lelaki kononnya warga Korea Selatan yang sanggup menjaganya hingga akhir hayat.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata wanita berusia 63 tahun itu menjadi mangsa sindiket Love Scam atau penipuan cinta berkenaan selepas mengenali lelaki tersebut menerusi laman sosial Instagram pada Disember lepas sebelum terus berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

"Selain termakan janji manis suspek untuk menjaganya hingga akhir hayat, mangsa juga terpengaruh dengan tawaran projek perniagaan membabitkan pelantar minyak daripada suspek yang turut mengaku bekerja di sebuah pelantar minyak di luar negara.

"Untuk meyakinkan mangsa, suspek juga sering menghantar gambar wajahnya dan video sedang memandu kereta serta berada di tempat kerja kepada mangsa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata setelah yakin mangsa mempercayainya, suspek meminta sejumlah wang daripada wanita itu dengan alasan untuk menjalankan perniagaan melibatkan projek pelantar minyak yang memberikan keuntungan lumayan.

Mohd Shuhaily berkata lelaki itu juga meminta wang secara berperingkat bagi mengelak pihak bank mencurigai kegiatannya malah sindiket tersebut menggunakan 19 akaun tempatan untuk tujuan transaksi daripada warga emas berkenaan.

Beliau berkata wanita itu telah membuat 184 transaksi wang berjumlah RM9,000 hingga RM50,000 sejak Disember lepas hingga bulan ini dan kemudian menyedari ditipu selepas mendapati gambar yang dihantar suspek telah disunting daripada gambar orang lain.

"Mangsa membuat laporan polis pada 17 Mac lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dengan menambah wanita itu tidak bekerja dan menggunakan wang simpanan mendiang suaminya untuk diberikan kepada suspek.

Menurutnya polis kini sedang mengesan pihak yang terlibat dalam penipuan itu dan tidak menolak kemungkinan suspek merupakan warga Nigeria kerana penipuan Love Scam lazimnya didalangi oleh warga asing berkenaan.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan individu yang dikenali melalui media sosial dan tidak memindahkan wang kepada mereka yang baru dikenali.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post