Tiga Geng Panjat Pagar ke lokap

Gambar kredit PDRM Miri

MIRI— Tiga ahli Geng Panjat Pagar termasuk seorang remaja lelaki yang terlibat dalam beberapa siri kegiatan pecah rumah sekitar Senadin diberkas polis petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, suspek berusia antara 13, 28 dan 31 itu ditahan dalam satu operasi (Ops Pintu) yang dijalankan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 4 petang sehingga 8 malam di beberapa lokasi sekitar Tudan.


“Suspek disyaki terlibat beberapa siri kegiatan pecah rumah di kawasan perumahan Senadin sejak sebulan lalu.

“Hasil siasatan polis mendapati modus operandi suspek ialah memasuki halaman rumah dengan memanjat pagar sebelum melarikan barangan berharga yang diletakkan di tempat parkir,” katanya semalam.

Beliau menambah, hasil siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Turut ditemui dua buah mesin pemotong rumput dipercayai dicuri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Next Post Previous Post