Tiga beradik yatim piatu balik Sarawak esok, Fadillah


KUALA LUMPUR—Tiga beradik anak kepada pasangan suami isteri yang maut terkena renjatan elektrik di Cameron Highlands akan dihantar pulang ke Kuching esok.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof semasa menziarahi waris serta tiga anak mendiang Damian dan mendiang Ronwina Mambai di sini hari ini.


“Tiga beradik berkenaan iaitu Elisa Olivia 10, Joseph Rayyan 8 dan Magdalena 2 akan dihantar pulang ke Kuching.

“Mereka akan dibawa oleh abang kepada mendiang Ronwina, Robert Adi, 43, dan isterinya Kelly Jhon, 36, yang telah diterbangkan segera ke Kuala Lumpur selepas kejadian,” katanya menerusi hantaran di Facebook petang ini.

 
Beliau menambah, segala urusan penerbangan pulang tiga beradik berkenaan dan waris terlibat, serta penginapan transit, juga urusan pengkebumian kedua-dua mangsa telah dibiayai sepenuhnya oleh Sarawak Volunteers dengan bantuan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur.


“Urusan membantu keluarga berkenaan digerakkan segera sejak hari kejadian dengan Pegawai Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers telah bergegas ke Cameron Highlands sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu Khamis lalu, bagi menghulurkan bantuan perlu,’ katanya.


Beliau berterima kasih kepada Rumah Sarawak di Kuala Lumpur diketuai Pengarahnya , Awang Supian Awang Daud, yang telah membantu mempermudahkan segala urusan membantu keluarga berkenaan.

Fadillah turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga pasangan mendiang Damian dan mendiang Ronwina.


Mendiang Damian dan mendiang Ronwina Mambai meninggal dunia dipercayai akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Taman Tringkap Puncak, Cameron Highlands, pagi Khamis lalu, 10 Mac 2022.
Next Post Previous Post