Suami isteri disyaki edar dadah antara tiga ditahan di Meradong


BINTANGOR—Polis menangkap tiga individu termasuk sepasang suami isteri disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong DSP Sekam Anoi dalam laporan Utusan Borneo dipetik berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap semasa ops Sarang di dua lokasi berasingan di sekitar Bintangor.

"Ketiga-tiga suspek berusia 26, 32 dan 45 tahun itu masing-masing ditangkap di sebuah rumah di Jalan Abang Ali dan sebuah rumah di Jalan Bintang, dekat sini, jam 12 tengah hari dan jam 4 petang," katanya pada sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, hari ini.


Mengulas lanjut, Sekam berkata, serbuan pertama dijalankan ke atas sebuah rumah di Jalan Abang Ali, yang mana polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemukan satu plastik yang mengandungi 44 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis Methamphetemine.

Selain itu, katanya, 22 keratan tiup straw yang berisi ketulan kristal dan satu plastik lutsinar yang seberat 365.40 gram, kedua-dua dipercayai dadah jenis Methamphetemine .

Beliau menambah, kesemua barangan tersebut ditemukan di bilik tidur rumah pasangan terbabit yang mana dianggarkan berjumlah RM36,500..

Ekoran penangkapan pasangan terbabit, Sekam berkata, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bintangor dan telah menahan seorang lelaki yang berusia 45 tahun.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan di dapur rumah suspek, polis telah menemukan satu plastik yang mengandungi tujuh paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetemine yang seberat 5.90 gram dengan anggaran harga sekitar RM500.

Selain itu, polis turut menjumpai dua biji pil Erimin 5 yang seberat 0.60 gram serta bernilai RM100.

Dedah beliau, hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati mereka semua positif Amphetamine/Methamphetemine.

"Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bagi menjalani proses siasatan," ujarnya.

Beliau turut memberitahu, dalam serbuan itu polis turut merampas dan menyita barangan milik kesemua suspek yang dipercayai diperolehi hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.

Antara barangan tersebut ialah dua buah kereta, wang tunai berjumlah RM12,500, tiga bentuk cincin, dua bentuk anting-anting, seutas rantai emas beserta loket dan tiga utas gelang tangan emas.

Kesemua barangan sitaan tersebut dianggarkan bernilai RM65,162.

Kes disiasat Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39B ADB 1952.
Next Post Previous Post