STATOS anjur ‘Discover Sarawak Day' tarik guru dan pelajar Singapura
Guru dan pelajar Singapura dibawa ‘meneroka’ Sarawak mengunakan aplikasi VR |
Dalam kenyataan hari ini, STATOS berkata acara itu yang diadakan pada 18 Mac menyaksikan guru dan pelajar dibawa ‘meneroka’ Sarawak menggunakan aplikasi VR untuk sekitaran 3 dimensi yang mempamerkan pelbagai jenis makanan, festival dan tarikan pelancongan di Sarawak serta penerangan oleh pemandu pelancong di Kota Singa itu dan Sarawak.
Para hadirin mengambil peluang mengenali Sarawak dengan lebih dekat menerusi reruai foto dan mereka teruja dapat mengetahui lebih lanjut mengenai makanan dan produk yang terdapat di bumi Kenyalang itu.
Ketua Pegawai Eksekutif STATOS Cheng Chang Guan menjelaskan program itu dianjurkan sebagai maklum balas kepada permintaan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar STATOS mewujudkan hubungan pendidikan antarabangsa baharu antara Singapura dan Sarawak.
“Kami percaya Sarawak akan menawarkan pengalaman pendidikan yang menarik untuk semua pelajar dan mengorak langkah lebih jauh ke peringkat pendidikan tinggi,” katanya.
Chew berkata beliau telah mengatur kerjasama yang serupa antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Copenhagen University dari Denmark yang menyaksikan pelajar melawat Sarawak dan turut membuat rancangan ekonomi untuk kaedah pertanian lebih baik bagi masyarakat luar bandar di negeri itu.
“Program pasukan kami dan pertukaran idea telah diterima dengan baik oleh pengusaha pelancongan, guru dan pensyarah. Sangat bagus turut melibatkan IPC Tours, iaitu satu daripada syarikat pelancongan pendidikan yang dihormati di Singapura, bekerjasama dengan kami dalam program baharu yang menarik ini,” katanya.
Pengarah Urusan IPC Tours Raj Kumar berkata program interaktif mereka membantu membawa dunia sebenar ke dalam kelas.
“Kami sebenarnya bangga telah mengatur perjalanan pendidikan lebih 50,000 pelajar di seluruh dunia dan berharap dapat memasukkan Sarawak sebagai destinasi pilihan pada masa depan untuk pelanggan kami,” katanya.
Selepas kejayaan penganjuran acara itu, pasukan STATOS ingin bekerjasama dengan sekolah di republik itu untuk menyusun lawatan pembelajaran maya ke galeri berkenaan untuk pelajar mereka.
-- BERNAMA