Lagi kegigihan ayah, bina kelas PdPR atas bukit Kelingkang dilengkapi kelambu

Gambar kredit Mario Sa

SIBU— Kisah kejayaan anak saudara yang berjaya memasuki institut pengajian tinggi memberi motivasi kepada seorang ayah untuk membina pondok Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) di Bukit Kelingkang, dekat sini.

Kegigihan Tar Ujom membina pondok tersebut dikongsikan oleh seorang netizen Wiieng Bernadee Abing menerusi akaun Facebooknya hari ini.

 
Menurut hantaran itu, beliau terserempak Tar Ujom sedang menyiapkan pondok untuk anak-anaknya memandangkan sesi PdPR memerlukan kadar liputan internet yang baik.

Tar merupakan bapa saudara kepada seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Frank Steward Panting Sa yang pernah tular semasa mengikuti temu duga dalam talian universiti itu baru-baru ini kerana sanggup mendaki Bukit Kelingkang selama dua jam untuk mendapatkan kelajuan internet yang lebih baik. 


"Balik saya dari pasar Betong, tersempak beliau yang berusaha menyiapkan pondok di Bukit Kelingkang, lokasi yang sama digunakan anak saudaranya Frank Steward Panting Sa.

"Tetapi kali ini usaha gigih seorang ayah ini menyediakan meja untuk kedua orang anaknya, iaitu Stanly yang kini melanjutkan pembelajaran di Tingkatan 6 Atas dan Elentia di Tingkatan 6 Bawah di Sekolah Menengah Kebangsaan St Augustin, Betong," katanya. 


Turut belajar di pondok PdPR yang dilengkapi meja, kerusi dan kelambu itu ialah adih kepada Frank Steward yang kini dalam Tingkatan 4.


“Pondok ini dibuat oleh bapa saudara saya untuk kegunaan kedua-dua sepupu dan adik saya yang masih belajar di Tingkatan 4.

“Mereka berada di sini seawal jam 7 pagi hingga tamat sesi persekolahan pada jam 4 petang,” kata Mario Sa.
Next Post Previous Post