P.Pinang belum muktamad kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut

Gambar arkib kredit mStar


GEORGE TOWN—Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung kajian kebolehlaksaaan projek terowong dasar laut yang telah dibentang kepada Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) pada Februari lepas.

 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya akan membuat keputusan selepas menerima ulasan bertulis mengenai kajian kebolehlaksanaan projek itu daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

 

"Syarikat konsesi Consortium Zenith Construction (CZC) dan perunding mereka telah membentangkan penemuan kajian kebolehlaksanaan dalam Mesyuarat Exco pada Februari lepas iaitu projek itu boleh dilaksanakan namun ia tertakluk kepada pematuhan dengan pelbagai syarat teknikal.

 

"Mesyuarat Exco telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari dan Penang Infrastructure Corporation untuk mendapatkan ulasan bertulis daripada SPPP dan PPSB secepat mungkin.

 

"Jadi kami akan menunggu ulasan bertulis daripada dua agensi penting itu kerana terowong akan dibina di bawah laut dan melintasi laluan melibatkan kapal di perairan tersebut. Kedua-dua agensi menyuarakan pandangan kepada perunding," katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan penganjuran Penang Harmony Week 2022 dari 14 hingga 21 Mac hari ini.

 

Chow berkata ulasan secara bertulis itu diperlukan supaya kerajaan negeri dapat membuat pertimbangan lanjut meskipun hasil kajian secara teknikal menunjukkan projek terowong dasar laut boleh dilaksanakan.

 

Beliau berkata SPPP dan PPSB mempunyai pertikaian berhubung pelaksanaan projek itu dan pihaknya berharap ulasan daripada agensi terbabit dapat diperoleh dengan segera supaya kerajaan negeri dapat membuat keputusan berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut.

 

Pembinaan terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan antara projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) bernilai keseluruhan RM46 bilion.

 

Sebelum ini, dilaporkan CZC telah menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan pada akhir 2020 selepas ditangguh empat tahun dan menyerahkan perkara itu kepada kerajaan negeri pada Disember tahun sama.

 

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut bermula pada Disember 2014 dan sepatutnya siap pada 2016 tetapi tertangguh atas pelbagai faktor dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai link ketiga antara bahagian pulau ke tanah besar bagi menggantikannya.

 

Bagaimanapun, Chow dilaporkan berkata setakat ini, kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh CZC adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja dan bukan untuk jambatan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post