Polis tahan empat lelaki, rampas ganja bernilai RM3.33 juta

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay semasa sidang media hari ini. kredit JSJN

SHAH ALAM—Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis ganja seberat 1.33 tan bernilai kira-kira RM3.33 juta menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Selangor, Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua yang berusia 23 hingga 46 tahun itu ditahan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Selangor sekitar 4.40 petang dan 11 malam di dua lokasi di Subang Jaya manakala masing-masing satu lokasi di Rawang dan Semenyih.

"Hasil serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja gred dua di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

"Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 2,576,000 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata modus operandi digunakan sindiket itu adalah membawa masuk bekalan dadah dari Thailand melalui laluan tikus untuk dipasarkan di sekitar Selangor dan Johor.

"Siasatan mendapati, sindiket pengedaran dadah ini dipercayai mula aktif sejak pertengahan Januari tahun ini," katanya dengan menambah kesemua lelaki itu terdiri daripada dua penganggur, ahli perniagaan dan penghantar barang.

Beliau berkata seorang daripada mereka positif terhadap dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan semakan rekod jenayah lampau turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan polis menyita pelbagai aset sindiket termasuk empat kenderaan dan wang tunai dianggar bernilai RM331,900. Ini menjadikan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM3.7 juta," katanya.

Ayob Khan berkata kesemua mereka direman tujuh hari hingga 31 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan JSJN sedang berusaha mengesan saki baki sindiket termasuk dalang.

Sementara itu, mengulas mengenai tangkapan beberapa penjawat awam yang disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, Ayob Khan berkata pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Kementeran Dalam Negeri (KDN) berkenaan tindakan terhadap mereka yang diberkas pada 6 Mac lepas.

Beliau berkata lapan penjawat awam itu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Kita akan siapkan fail kes untuk dihantar ke KDN dan ada tiga kemungkinan sama ada mereka ini akan dikenakan perintah tahanan, sekatan atau dibebaskan. Bagi pihak polis, kita puas hati dengan maklumat yang ada berkenaan penglibatan mereka dengan sindiket ini,” katanya.

Pada 15 Mac lepas, Ayob Khan dalam satu sidang media di Bukit Aman berkata pihaknya telah menahan 10 penjawat awam termasuk seorang nelayan disyaki terlibat pengedaran syabu yang dianggar bernilai RM193,590.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post