Pesara rugi RM40,000 diperdaya ‘Muhammad Faizal’ dan ‘Inspektor Manisah’

Gambar hiasan/Kredit Unsplash

SEREMBAN—Seorang pesara kerajaan di Port Dickson, dekat sini, mengalami kerugian sebanyak RM40,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam pada 11 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata wanita berusia 63 tahun berkenaan mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang individu bernama ‘Muhammad Faizal’ daripada Telekom Malaysia pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

Beliau berkata lelaki itu memaklumkan mangsa ada membuat pendaftaran talian Unifi pada alamat di Seremban, namun wanita tersebut menafikan perkara itu.

“Panggilan kemudiannya disambungkan kepada ‘Inspektor Manisah’ yang memaklumkan terdapat kemasukan wang haram sebanyak RM80,000 ke akaun bank mangsa, sebelum diminta mendaftar perbankan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam talian oleh individu yang kononnya daripada Bank Negara Malaysia.

“Mangsa yang percaya telah menyerahkan butiran perbankan bagi akaun BSN, Bank Rakyat dan Maybank miliknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata wanita itu kemudiannya membuat semakan dengan bank dan mendapati dia mengalami kerugian sebanyak RM40,000 daripada tiga akaun tersebut yang dipindahkan kepada akaun individu tidak dikenali.

Katanya, mangsa membuat laporan polis pada keesokannya dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang mendakwa mereka daripada badan penguat kuasa atau institusi kewangan, selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada individu tidak dikenali.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post