Patutlah bunyi berdesing, ular tedung selar menyorok dalam enjin kereta!


BINTULU—Pemilik sebuah kenderaan dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung selar yang bersembunyi pada bahagian enjin kereta miliknya hari ini.

Pada mulanya, beliau dikatakan terdengar bunyi desingan kuat dari arah enjin kereta lalu melakukan pemeriksaan.


Alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati seekor ular tedung selar berlingkar pada bahagian enjin kereta beliau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, seramai 3 anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian di kawasan Batu 6 sejurus menerima panggilan pada jam 11.53 pagi bagi menjalankan khidmat khas menangkap haiwan berbisa itu.


"Sampai di lokasi dinyatakan, pasukan bomba mendapati sememangnya terdapat seekor ular tedung selar dalam anggaran panjang 3 meter berada dalam enjin kereta pengadu," ujarnya.

Pasukan bomba katanya mengambil masa 15 minit bagi menangkap ular terbabit yang mana ianya berjaya ditangkap dengan menggunakan alat penjerut khas pada jam 12.20 tengah hari.

Selepas berjaya ditangkap, pasukan Alpha BBP Bintulu membawa ular berbisa itu ke balai untuk tindakan lanjut.
Next Post Previous Post