Padah mahu kaya cepat, penjawat awam rugi RM20,600

Gambar hiasan kredit Unsplash

KUANTAN—Seorang penjawat awam mendakwa kerugian RM20,600 selepas terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan menerusi aplikasi Telegram, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan berminat untuk menyertai pelaburan tersebut setelah melihat promosi yang ditawarkan sebelum membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM3,000.

Beliau berkata menerusi pelaburan itu, mangsa telah dijanjikan dengan pulangan sebanyak RM55,000 dalam tempoh enam jam dan diminta untuk membuat bayaran pendaftaran berjumlah RM17,600 untuk mengeluarkan hasil keuntungan tersebut. 

“Apabila mangsa sudah membuat transaksi itu, dia sekali lagi diminta membuat bayaran sebanyak RM15,000 dengan alasan bayaran caj perkhidmatan bank. 

Mangsa bagaimanapun berasa curiga kerana sebelum ini tidak diberitahu berkenaan caj bank itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa yang berasa telah ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA  
Next Post Previous Post