Dua beranak maut dalam kemalangan di Serian

Kemalangan tragis yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika kedua-dua beranak itu dalam perjalanan dari arah Serian menuju ke Kuching.

SERIAN— Seorang ibu bersama anak lelakinya yang berusia 12 tahun maut, manakala tiga lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 55 Jalan Kuching-Serian lewat petang semalam.

Kemalangan tragis itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika mangsa Nancy Akok, 47, yang merupakan seorang kerani di sebuah sekolah nenengah di sini memandu sebuah kereta bersama anaknya Emmanuel Rau Frankie dari arah Serian menuju ke Kuching.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebaik sahaja sampai di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan telah terbabas ke laluan bersebelahan sebelum bertembung dengan sebuah pikap yang darang dari arah Kuching.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.

“Salah seorang mangsa iaitu Nancy disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak paramedik Hospital Daerah Serian manakala anaknya meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Simpak, Padawan telah dikeluarkan oleh pihak Bomba yang tiba dilokasi.

Sementara itu, pemandu pikap bersama isteri dan anak yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Daerah Serian dengan menggunakan ambulans, tambahnya.

Tegasnya lagi, kenderaan terlibat balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan selanjutnya.

Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post