Lelaki ditahan dadah dalam genggaman

Gambar PPMW5

BINTULU—Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan bersama straw mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah dalam genggamannya di sebuah kafe di Jalan Somerville di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak, ASP Ezuandi Bahadin berkata,semasa menjalankan pemeriksaan Op Landai di kawasan berkenaan, Unit Risikan Marin (URM) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bintulu menahan mangsa yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan ke atas tubuh suspek telah menjumpai satu keratan straw tiub lutsinar kemerahan dalam genggaman tangan suspek.

“Straw itu mengandungi ketulan-ketulan kristal seberat 0.6 gram dipercayai syabu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut mengesahkannya positif mengambil dadah jenis Amphetamine.

Suspek beserta dadah yang dirampas kemudiannya ditahan dan diserahkan kepada BSJND IPD Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 kerana memiliki dadah dan memasukkkan dadah ke dalam tubuh.
Next Post Previous Post