Lee turun padang santuni mangsa kebakaran di Kampung Pujut Padang Kerbau

Lee (tiga kanan) menyampaikan bantuan kepada Shariel.

MIRI—Prihatin dengan kejadian yang menimpa dua beranak yang terjejas akibat kebakaran pada malam Khamis (10 Mac), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato’ Sri Lee Kim Shin tampil menghulurkan bantuan.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak melahirkan simpati di atas kejadian dan berjanji untuk membantu mangsa secepat mungkin.

“Kita telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Miri bagi proses menyalurkan bantuan susulan kepada mangsa," ujar Lee yang ditemui semasa penyerahan bantuan di kampung tersebut petang tadi.

Bantuan berupa keperluan makanan dan sejumlah wang tunai disampaikan kepada Mohamad Sahriel Abdullah, 25, anak Asiah Morshidi, 59 tahun yang dilaporkan melecur pada dahi dan tangan.

Sementara itu, pemilik rumah, Asiah, kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Miri.

Menurut Mohamad Sahriel, pada malam kejadian, beliau dan ibunya sedang menonton televisyen, sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan satu bunyi seperti percikan api di bahagian luar rumah.

"Apabila saya keluar untuk memeriksa lanjut sumber bunyi tadi, saya terkejut melihat api sedang marak...tanpa berlengah , saya terus membawa ibu keluar," ujar Shariel.

Namun, ibunya melecur sewaktu cuba melarikan diri. Difahamkan, rumah tersebut hanya didiami mereka berdua.

Menurut Shariel, buat sementara waktu ini, dia tinggal di rumah rakannya.

Dalam kejadian sekitar jam 10.17 malam Khamis itu, rumah mereka musnah sebanyak 85 peratus. Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan.
Next Post Previous Post