Kluster baharu libatkan akademi latihan kerajaan di Bau

Gambar hiasan

KUCHING—Satu kluster institusi baharu dikesan di Sarawak hari ini melibatkan sebuah akademi latihan kerajaan di Jalan Taiton, Bau.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kluster itu dikenali sebagai Kluster Jalan Taiton, Bau yang merupakan satu kluster institusi yang melibatkan pelatih, fasilitator dan kakitangan sebuah akademi latihan kerajaan yang terletak di Jalan Taiton, Bau.

"Indeks kes kepada kluster ini merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang telah dikesan reaktif saringan kendiri ujian air liur kendiri pada 13 Mac 2022.

"Indeks kes ini juga merupakan fasilitator akademi tersebut. Jangkitan dipercayai berpunca dari komuniti dan telah merebak di dalam institusi tersebut melalui pergaulan rapat dalam kalangan fasilitator, kakitangan dan pelatih di akademi tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas JPBNS, seramai 139 orang telah disaring yang mana 75 orang didapati positif termasuk kes indeks.

Manakala 64 individu didapati negatif dan kesemua 75 kes baharu tersebut dilaporkan pada hari ini.

"Kesemua mereka terlibat telah ditempatkan di CAC di daerah Bau dan pusat kuarantin di akademi terbabit," ujarnya.

Jawatankuasa itu menambah, dengan penambahan kluster baharu tersebut menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak meningkat kepada enam kluster.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan tiga kes kematian direkodkan di Sarawak pada 17 Mac lalu melibatkan dua kes di Sibu dan satu kes di Kucihng.

Kes kematian di Sibu masing-masing melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun dan seorang lelaki berusia 82 tahun di Hospital Sibu yang mana kedua-dua mempunyai komorbid.

Manakala kes di Kuching melibatkan seorang wanita berusia 73 tahun yang mana jenazah dibawa ke Hospital Umum Sarawak dan juga mempunyai komorbid.

Selain itu, JPBNS memberitahu Sarawak merekodkan 1,177 kes positif baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 286,995.

Daripada jumlah itu, empat daerah merekodkan jumlah kes tiga angka iaitu Kuching 414 kes, Bintulu 126, Bau 112 dan Miri 110.

Manakala daerah lain merekodkan kes bawah angka 100 kecuali Tanjung Manis, Beluru, Belaga, Bukit Mabong dan Song yang menunjukkan tiada kes positif baharu dikesan.
Next Post Previous Post