KKM keluarkan kompaun kepada Lim Kit Siang

Kredit Twitter Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR—Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kompaun kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pengawalan wabak COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi perkongsian di Twitter berkata kompaun berkenaan dikeluarkan pada 20 Mac dan beliau turut menyertakan bukti kertas saman terhadap Lim.

Khairy membuat perkongsian itu sebagai reaksi selepas Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa Lim tidak didenda kerana berpelukan dengan ahli parti pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 yang berlangsung Ahad lepas.

Kredit Twitter Khairy Jamaluddin

“Kompaun sudah dikeluarkan kepada @limkitsiang. KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor yang masih belum settle (dijelaskan).

“KKM juga harap @NajibRazak menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS (Datuk Seri) enggan terima sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata KKM mengeluarkan lima kompaun kepada bekas perdana menteri itu atas kesalahan pelanggaran SOP pada PRN Johor.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post