Kes Eric: Pengasuh bersama suami berdepan hukuman mati

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Eric.

KUCHING—Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh Eric Chang Wei Jie yang sebelum ini dilaporkan hilang di sebuah rumah di Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa.

Mereka, Wendy Chai Xue Zhen, 36, merupakan pengasuh Eric bersama suaminya, Ling Kok Liang, 51 bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Memetik laporan Utusan Borneo hari ini, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Wendy Chai Xue Zhen 

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Eric.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka secara bersama antara 4 Mac lalu sekitar jam 5 petang dan 7 Mac lalu, sekitar jam 9.15 pagi di sebuah rumah di Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Tan Chuan Yi memohon satu tarikh baharu ditetapkan untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia dan perubatan mangsa.

Berikutan itu, Majistret Zaiton membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 9 Mei depan untuk sebutan lanjut kes.

Ling Kok Liang

Dalam masa sama, beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh supaya ditahan lanjut di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu tarikh tersebut.

Sebelum ini, Eric dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu semasa dijaga oleh pengasuhnya di sebuah kawasan perumahan di Bintawa.

Operasi pencarian Eric di sekitar perairan sungai Muara Tebas di sini sejak 13 Mac lalu dihentikan pada jam 6 petang, 19 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah dalam satu sidang media berkata kedua-dua tertuduh juga memilki lima waran tangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seorang daripada suspek juga dituduh di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan," katanya.
Next Post Previous Post