Kerajaan mungkin terpaksa bergantung kepada Petronas bantu tanggung subsidi


KUALA LUMPUR—Ketika Malaysia mengunjurkan subsidi bahan api mencecah RM28 bilion pada 2022 berikutan peningkatan harga minyak mentah, ahli ekonomi OCBC Bank berpandangan bahawa kerajaan mungkin terpaksa bergantung kepada dividen khas daripada syarikat minyak dan gas negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk membantu menanggung subsidi.  

Wellian Wiranto dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata langkah itu akan membantu mengekalkan defisit fiskal yang lebih meluas pada sasaran 6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) seperti yang kali pertama dianggarkan dalam Bajet 2022. 

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi tahu Parlimen bahawa sekiranya harga minyak mentah dunia kekal di atas paras US$100 setong (US$1=RM4.187), jumlah subsidi bagi keseluruhan 2022 dijangka mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion bagi 2021.

Tengku Zafrul juga berkata kerajaan akan menyemak semula mekanisme subsidi bahan api dan minyak masak agar ia lebih bersasar bagi membantu dan memberi subsidi kepada kumpulan rentan yang terkesan dan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan. 

Bagaimanapun, Wellian berkata memandangkan jurang besar antara harga sebenar dan harga disubsidi, sebagai  contoh, bahan api RON95 dijual pada RM2.05 seliter walaupun ia menelan kos 80 peratus lebih tinggi pada RM3.70 seliter, potensi ketirisan daripada beberapa urus niaga 'kreatif’ mungkin tidak dapat dielakkan. 

Mengenai lonjakan harga minyak mentah beliau berkata walaupun ia memberi manfaat kepada keseimbangan perdagangan dan hasil fiskal bagi Malaysia, pengeluar minyak dan gas bersih itu terpaksa memilih antara peningkatan perbelanjaan fiskal sekiranya ia mengekalkan subsidi bahan api dan gelombang inflasi jika sebaliknya. 

“Dengan mengekalkan skim subsidi yang meluas, kesan daripada harga komoditi tinggi kepada inflasi domestik akan dapat dibendung bagi Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post