ePemula bernilai RM300 juta dibuka kepada 2 juta belia

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Gambar kredit FB Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR—Program e-Pemula yang akan dilancarkan tidak lama lagi bakal memberi manfaat kepada lebih 2 juta belia dengan peruntukan sebanyak RM300 juta, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata program e-Pemula ialah sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai khas untuk golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.

“Program e-Pemula akan mengkreditkan RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet para belia ini,” katanya di Bengkel Pengurusan Kewangan My Money & Me sempena Global Money Week 2022 yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Katanya terdapat banyak dana dan pembiayaan yang disediakan khas untuk golongan belia melalui Bajet 2022.

“Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang usahawan muda, Pelan Pembiayaan Belia Usahawan sebanyak RM150 juta ditawarkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank,” katanya.  

Katanya kerajaan juga telah mula membayar elaun sebanyak RM900 kepada pelajar yang menjalani program latihan industri sejak 2019.

Beliau berkata langkah itu untuk membantu mengurangkan beban kewangan golongan belia.

Tengku Zafrul turut mengambil kesempatan dengan mengingatkan golongan muda mengenai kepentingan masa depan dan amalan konsep pengurusan kewangan yang positif.

“Bagi mencapai tahap kesejahteraan kewangan yang positif, anda perlu membiasakan diri dengan konsep kawalan diri.

“Kawalan diri akan membolehkan anda mengagihkan simpanan dan berjinak-jinak dengan dunia pelaburan serta menerajui pelan takaful dan insurans yang sedikit sebanyak akan membantu memastikan tahap kesejahteraan kewangan,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post