Enam hari berturut-turut kes baharu COVID-19 melebihi 1,000 di Sarawak

Gambar hiasan

KUCHING: Kes positif baharu COVID-19 di Sarawak kekal pada paras empat angka untuk enam hari berturut-turut sejak 1 Mac hingga hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kes baharu ini merekodkan jumlah sebanyak 1,244 kes menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 267,655.

Jelasnya, daripada jumlah itu, kategori satu dan dua merekodkan 1,233 kes manakala kategori tiga hingga lima 11 kes.

"Pecahan mengikut kategori klinikal pula, kategori satu (tiada gejala) 564 kes, kategori dua (gejala ringan) 669 kes, kategori tiga (jangkitan paru-paru) tiga kes, manakala kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksiden) dan kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator) masing-masing empat kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

JPBNS menjelaskan, Kuching kekal merekodkan kes harian tertinggi iaitu 446 kes, diikuti Miri 235, Sibu 147, Samarahan 78, Bintulu 58, Serian 56, Sarikei 37, Bau 33, Limbang 17, Mukah 16, Lawas 15, Kanowit 13, Belaga 12 dan Saratok 10.

Sementara daerah lain merekodkan kes di bawah 10 kecuali Julau, Bukit Mabong, Tanjung Manis, Pusa, Tatau dan Telang Usan yang menunjukkan tiada kes positif baharu dicatatkan.

Selain itu, JPBNS memaklumkan satu kes kematian direkodkan pada 4 Mac melibatkan seorang lelaki warga emas, 72 tahun di Hospital Simunjan yang mempunyai latar belakang komorbid iaitu darah tinggi dan penyakit paru-paru obstruktif kronik.

Pada masa sama jawatankuasa itu memberitahu tiada kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak kekal empat.
Next Post Previous Post