Di mana Eric? Tiada petunjuk baharu dijumpai pada SAR hari ke-5


KUCHING: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), Eric Chang Wei Jie, kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang dilaporkan hilang sejak 7 Mac lalu pada hari ke-5 hari ini masih gagal menemukan sebarang petunjuk baharu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pencarian dalam operasi hari kelima hari ini meliputi kawasan pesisir dalam jarak 1 hingga 1.5 kilometer melalui jalan darat berikutan keadaan air yang masih surut. 



Usaha pencarian juga dilakukan oleh pasukan SAR menghala ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Ramp (tanjakan) Kampung Semilang, Kampung Beradek dengan jarak 6.2 kilometer.

"Setakat jam 6 petang ini tiada sebarang petunjuk untuk penemuan mangsa.

"Ekoran itu, operasi bantuan SAR hari ke-5 ditangguh pada jam 6.00 petang tadi dan akan bersambung semula esok," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Terdahulu, usaha pencarian ditingkatkan lagi dengan turut disertai Pasukan Anjing Pengesan (K9) (Bella) JBPM Sarawak.

Selain itu, operasi SAR hari ke-5 turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU).


Malah, Persatuan Bomba Sukarela Bako Indah turut sama dalam SAR itu dan seorang penduduk kampung yang menjadi penunjuk arah.

Eric sebelum ini dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu ketika dalam jagaan oleh pengasuhnya di sebuah kawasan perumahan di Bintawa.

Pengasuhnya bersama suami kini direman sehingga 24 Mac ini. 
Next Post Previous Post