Celcom diiktiraf rangkaian mudah alih terbaik Malaysia

Datuk Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Berhad (kiri) menerima anugerah Rangkaian Mudah Alih Terbaik daripada CEO Ookla, Doug Suttles, dalam acara Mobile World Congress 2022 di Barcelona, Sepanyol. Gambar kredit Ookla

KUALA LUMPUR—Celcom Axiata Bhd (Celcom) memenangi Anugerah Speedtest Ookla bagi Liputan Mudah Alih Terbaik di Malaysia, sekali gus membuktikan komitmennya untuk terus melabur dalam mempertingkatkan kualiti dan perkhidmatan rangkaiannya.

Menurut Celcom, pelaburan itu juga dilaksanakan supaya pihaknya dapat memberikan pengalaman digital yang konsisten untuk seluruh rakyat Malaysia.

Ia menjelaskan, berdasarkan laporan Speedtest Ookla bagi suku ketiga hingga suku keempat 2021 di Malaysia, rangkaian mudah alih Celcom serta pengalaman mudah alih rakyat Malaysia telah dianalisis melalui Metrik Liputan Ookla.

“Skor liputan bagi laporan itu menunjukkan jejak setiap syarikat telekomunikasi dan kualiti perkhidmatan di negara ini dalam tempoh tertentu untuk menentukan pemenang anugerah tersebut.

“Analisis menunjukkan Celcom berjaya memperoleh skor purata sebanyak 787 di Malaysia, mendahului kategori Lputan Mudah Alih Terbaik,” jelasnya dalam kenyataan pada Ahad.

Celcom menambah, pihaknya merekodkan kiraan imbasan tertinggi iaitu lebih 142 juta imbasan dan meliputi 356,606 lokasi di seluruh negara.

Berdasarkan laporan tersebut, Celcom telah mendahului dengan mencatatkan lebih 93.2 peratus untuk liputan 4G dan 99.7 peratus untuk liputan umum di seluruh negara, tambahnya.

Menurut Celcom, anugerah tersebut juga merupakan pengiktirafan bagi perbelanjaan modal sebanyak RM825 juta untuk penambahbaikan rangkaian pada 2021, mendorong penambahan liputan LTE sebanyak 900 tapak serta lebih 9,500 tapak yang telah dioptimumkan dengan liputan dan kapasiti 4G dipertingkatkan di seluruh negara.

“Pelaburan rangkaian 4G Celcom telah meningkatkan liputan populasi 4G LTE di seluruh negara sebanyak 99 peratus atau lebih di tujuh negeri terutama di Sabah, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Negeri Sembilan dan Kedah,” jelasnya.

Ia menambah, pada akhir 2021, pihaknya telah mencapai liputan populasi 4G LTE di seluruh negara sebanyak 94.5 peratus, yang diukur melalui kekuatan isyarat -98dBm di kawasan bandar dan pinggir bandar supaya dapat menyediakan secara purata isyarat tiga hingga empat bar pada peranti mudah alih.

Pencapaian terbaru Celcom ini diumumkan baru-baru ini pada majlis Anugerah Speedtest Ookla di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2022 yang diadakan di Barcelona, Sepanyol dari 28 Feb, 2022 hingga 3 Mac, 2022.

Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Datuk Idham Nawawi berkata Celcom akan terus melabur dalam memodenkan rangkaiannya untuk memenuhi pertumbuhan trafik data yang pesat serta memacu pelaburan dalam rangkaian.

“Pelaburan rangkaian kami termasuk menggunakan teknologi hujung ke hujung terkini seperti FDD Smart 8T8R komersial berskala besar yang pertama di dunia, 4T4R multiple-input and multiple-output (MIMO), Carrier Aggregation, 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM) dan banyak lagi bagi meningkatkan pengalaman digital pelanggan kami,” katanya.

Ookla merupakan peneraju rangkaian mudah alih dan jalur lebar, aplikasi ujian dan teknologi berkaitan di peringkat global.

Speedtest, sebuah platform ujian rangkaian utama Ookla, mengumpulkan ratusan juta ukuran tentang prestasi dan kualiti rangkaian di seluruh dunia setiap hari.

Pengendali, perniagaan serta agensi kerajaan sama-sama bergantung pada Ookla bagi mendapatkan maklumat segera untuk mengetahui keadaan rangkaian dan perkhidmatan dalam talian.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post