Budak perempuan maut tercampak dalam kemalangan

Gambar kredit PDRM

IPOH-- Seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan selepas tercampak keluar dari kereta yang dinaikinya di Kilometer 340.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tapah hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata mangsa N. Ashvika, 11, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan manakala adik perempuannya N.Yaashika, enam, disyaki mengalami patah kaki dan tangan kiri.


"Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari,  kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Nissan Almera yang dipandu bapanya berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Selangor  telah hilang kawalan dan terbabas melanggar besi pembahagi jalan. 

"Akibat kejadian itu, mangsa tercampak keluar melalui cermin belakang kenderaan itu dan mengalami kecederaan parah serta telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

Beliau berkata bagaimanapun bapa serta ibunya berusia 37 tahun dan seorang lagi adik perempuan mangsa berusia 10 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat yang dijalankan esok selepas  keputusan ujian COVID-19 diperoleh.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post