Bermula dalam permainan perlumbaan simulator, anak Sarawak kini bergelar pelumba profesional

Gambar kredit FB Muhd Hamdany Hamid dan SESA

SIAPA sangka minat dalam sukan elektronik (e-sukan) sebagai pelumba simulator membawa tuah kepada anak kelahiran Kuching, Sarawak yang kini bergelar pelumba profesional di litar lumba antarabangsa.

Meskipun Muhd Hamdany Hamid yang berusia 18 tahun masih baharu dalam bidang itu, tekad yang tinggi dalam dirinya berjaya membuktikan beliau mempunyai potensi besar.


Ini menerusi kejayaannya meraih tempat ketiga kategori rookie dalam perlumbaan Toyota Gazoo yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang baru–baru ini.

Muhd Hamdany dalam laporan TVS dipetik berkata, permulaan meyakinkan dalam karier awalnya sebagai pelumba litar disumbang oleh sokongan padu yang diberikan oleh ibu dan bapanya.

”Mereka tidak risau apabila saya turun ke litar kerana tahu kereta yang digunakan dilengkapi dengan ciri keselamatan, begitu juga dengan aspek keselamatan di litar lumba,” katanya.


Jelasnya, beliau minat dengan perkara berkaitan kelajuan sejak kecil lagi.

Berkongsi cerita bagaimana beliau boleh terjebak dengan jenama perlumbaan Toyota, Muhd Hamdany berkata, segalanya bermula pada tahun lepas ketika beliau menyertai perlumbaan GP E-Racing dalam semua kategori.

Tambahnya, beliau berjaya mendapatkan keputusan yang konsisten dan telah menarik perhatian bekas pelumba Formula One negara, Alex Yoong.


“Alex yang telah mencadangkan nama saya kepada Toyota bagi membolehkan saya menyertai pertandingan yang lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Hamdany menasihatkan rakan sebayanya supaya tidak mudah mengalah dalam mengejar impian masing–masing.

“Saya harap mereka dapat memanfaatkan peluang yang terhidang. Sentiasa yakin pada diri sendiri lebih -lebih jika kita tahu, kita ada bakat, jangan persiakannya,” katanya.


Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi turut berkongsi kejayaan anak muda Sarawak itu di media sosial Facebook persatuan tersebut.

"Bermula daripada menjadi seorang pelumba Racing Simulator sehingga berjaya mendapat tempat ke-3 pada saingan perlumbaan sebenar TOYOTA GAZOO Racing di Sepang Circuit.

"Anak kelahiran Sarawak, Muhd Hamdany yang berusia 18 tahun ini berjaya membuktikan minat yang bermula dari bermain pelumbaan simulator sehingga berjaya menjadi pelumba kereta sebenar.

"Beliau telah mendapat tempat ke-3 pada kedua-dua hari perlumbaan (19 dan 20 Mac 2022) dalam kategori Rookies Toyota Gazoo Racing Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang," katanya dalam hantaran itu.

Selain Afiq, kejayaan itu juga dikongsikan sendiri oleh ayah Muhd Hamdany, Hamid Halim kepada pihak SESA baru-baru ini.

"Pihak SESA ingin mengucapkan sekalung tahniah dan selamat maju jaya kepada Hamdany. Semoga berjaya pada perlumbaan yang akan datang pada bulan Jun dan September 2022 nanti," ujarnya.
Next Post Previous Post