Anggota tentera mengaku samun RM26 bersenjatakan pisau kerana terdesak duit belanja tak cukup


KUCHING—Seorang anggota tentera yang ditangkap polis disyaki terlibat dalam kes samun seorang pembantu pengurusan murid di hadapan sebuah kedai farmasi, Kota Sentosa, Jalan Batu 7, yang berlaku pada 12 Mac lalu mengaku melakukan perbuatan itu kerana terdesak duit perbelanjaan tidak mencukupi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditangkap sekitar jam 4.10 petang semalam di kaki lima sebuah kedai farmasi, Kota Sentosa oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

"Suspek mengaku melakukan samun di kawasan Kota Sentosa dan melakukan kegiatan samun akibat terdesak duit perbelanjaan tidak mencukupi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain tangkapan, katanya polis turut merampas sepasang kasut jenama Nike, sehelai seluar sukan jenama Adidas, sebilah pisau pemotong kertas, satu beg sandang jenama PORTER dan sSehelai pelitup muka warna hitam.

Mengulas lanjut kejadian samun itu, Abang Zainal berkata, dalam kejadian sekitar jam 4.12 petang pada 12 Mac lalu itu melibatkan seorang mangsa wanita berusia 38 tahun.

"Semasa mangsa masuk ke dalam kereta di hadapan sebuah kedai farmasi, Kota Sentosa, Jalan Batu 7, tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali masuk melalui pintu belakang sebelah kanan dan terus memaut leher mangsa dengan kedua-dua lengannya.

"Mangsa merasa seperti ada benda tajam dan disyaki pisau lipat diletakkan di leher kanan.

"Mangsa bertindak menggigit lengan suspek tersebut dan menekan hon kereta," katanya sambil menambah suspek telah mengambil duit tunai RM26 dari beg tangan mangsa.

Difahamkan suspek sedang menjalani kursus di sini sejak Januari lalu.

Jelas Abang Zainal, polis telah memaklumkan kejadian tersebut kepada penyelia suspek.

Tambahnya, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Selain itu, tegasnya, suspek juga terlibat kes bersabit Kota Sentosa di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

"Tangkapan bersabit akan dibuat setelah siasatan selesai.

"Suspek akan dibuat saringan awal air kencing setelah permohonan reman diperolehi," ujarnya lagi.
Next Post Previous Post