9 Individu sedang lalok dadah dicekup AADK Miri

Gambar AADK Miri

MIRI-- Seramai sembilan daripada 14 individu yang diperiksa disahkan positif mengambil dadah jenis syabu dalam operasi bersepadu yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Miri di Bekenu, semalam.

Jurucakap Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Daerah Miri dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, operasi bersepadu One Stop Committee (OSC) Daerah Subis yang disertai Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan BP Bekenu bermula jam 9 malam hingga 4.30 awal pagi mensasarkan kawasan Bukit Peninjau dan Tusan termasuk Kampung Beraya, Kampung Keluru Tengah, Kampung Keluru Jaya, Kampung Sebalik, Kampung Majelin dan Kampung Rambai.


"Kesemua 14 individu yang berusia antara 22 hingga 52 tahun itu telah menjalani ujian saringan air kencing yang mana sembilan daripadanya positif mengambil dadah jenis Methamphetamine," ujar beliau.

Kesemua suspek katanya ditahan di bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pind.1998.


Jika diperakui oleh pegawai perubatan kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar sebagai penagih dadah, 9 individu terbabit akan diperintahkan bagi menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Seksyen 6(1)(a) atau diletakkan di bawah pengawasan dalam komuniti selama tempoh tidak kurang 2 tahun dan tidak lebih 3 tahun di bawah Seksyen 6(1)(b) akta yang sama.

Kes disiasat oleh pegawai penyiasat AADK Daerah Miri.
Next Post Previous Post