Wanita PN kemuka 16 calon

Gambar Rina Harun

JOHOR BAHRU—Wanita Perikatan Nasional (PN) mengemukakan sebanyak 16 nama untuk disenaraikan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.


Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata 16 nama yang dikemukakan kepada pucuk pimpinan PN itu, membabitkan wanita dari ketiga-tiga parti komponen dalan PN iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Bersatu itu berharap, pucuk pimpinan PN dapat memberi ruang kepada Wanita PN untuk bertanding pada PRN nanti, sekali gus membantu memberi kemenangan kepada PN.

“Kita dah hantar nama seramai 16 terdiri daripada  wanita-wanita PN. (Jaminan kerusi) belum lagi, cuma kita sudah hantarkan nama kepada pucuk pimpinan PN, dan calon yang kita kemukakan adalah dari pelbagai kategori dan latar belakang.

“Harapan kita sudah pasti kita mahukan peluang diberikan kepada wanita juga, kerana kita berharap  bukan sekadar menjadi calon tetapi mereka ini mampu berkhidmat nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Jentera Wanita PN di sini malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Agung PN yang juga merangkap Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dan Ketua Armada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam perkembangan sama, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata wanita PN telah siap siaga menghadapi PRN Johor, dalam usaha memastikan sokongan dan undi melibatkan golongan pertama kali mengundi dan undi 18  berpihak kepada PN.

“Kalau ikutkan wanita PN ada 10,000 ahli berdaftar, kita ada ramai lagi wanita yang ingin turut membantu kita di bawah wanita PN di seluruh negeri Johor. Persediaan bukan baru bermula tapi sudah buat sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor,” katanya.

PRN Johor bakal diadakan pada 12 Mac depan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu 22 Jan lepas.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post